Konflik dalaman diri

Category: , By Mohd Nurishaq Mohd Fauzi

Sekiranya kita sentiasa bersedih, sangat mudah beremosi, atau mudah baran, cemburu dan selalu rasa nak marah, kita sebenarnya sedang mempunyai masalah kesihatan. Malangnya masalah kesihatan ini akan mengubah personaliti seseorang jika ia tidak dikekang dengan tindakan yang positif, tenang, sabar dan redha dalam menghadapinya . Masalah kesihatan emosi seringkali dianggap sebagai perkara yang remeh bagi segelintir masyarakat pada masa kini. Mungkin kerana perkara ini terlalu bersifat subjektif atau sukar untuk digambarkan didalam bentuk yang lebih tampak dan fizikal. Maka tidak hairanlah jika ada segelintir masyarakat pada masa kini yang walau secara zahirnya memiliki aset dari segala aspek kemewahan hidup namun secara emosi dan rohaninya sedang amuk menderita dibelenggu permasalahan jiwa.

Permasalahan ini tidak semestinya dialami oleh orang yang kurang upaya sepertimana pesakit ‘down-syndrome’ dan selainnya sahaja, bahkan turut juga dialami oleh orang-orang dari kelompok profesional atau siapa sahaja dari pelbagai lapisan sosial masyarakat. Bergantung kepada setiap individu, tentang bagaimana cara dia berhadapan dengan ancaman dalam bentuk kata, tulisan mahupun perbuatan yang acapkali menguji kestabilan emosi atau dalam erti kata yang lain, bagaimana individu tersebut bertindak balas dengan serangan terhadap emosi diri, sama ada mengganggap bahawa tiada apa yang sedang berlaku lalu melepaskan diri -“escapism” atau berusaha menyelesaikan konflik tersebut sehingga berjaya.

Lari daripada realiti yang sepatutnya dihadapi

Secara ironinya, setiap individu ingin mencapai sesuatu perkara dengan pantas tanpa perlu melibatkan risiko atau tenaga kerja yang tinggi sehingga terlepas sesuatu yang sangat penting tanpa disedari atau mengundang sesuatu perkara negatif dari perspektif yang berbeza. Berbanding dengan menggunakan cara yang terbaik seperti mengenengahkan permasalahan sosial kehidupan, sebagai contoh tekanan diri atau selainnya ‘interpersonal-conflict’ untuk dibincangkan serta diselesaikan secara menyeluruh dan berterus terang, ada juga individu yang mengambil keputusan untuk lebih memendamkan rasa. Tidak mahu atau tidak berani untuk berhadapan dengan masalah emosi diri dan jiwa sendiri secara realitinya. Sehingga dengan sedar merasakan dirinya umpama robot yang semakin lama semakin penat menyempurnakan kehidupan seharian sambil menanti letupnya jiwa yang resah gelisah. Mengelakkan sesuatu yang seharusnya dihadapi untuk diselesaikan dengan baik akhirnya terdedah kepada implikasi yang lain. Suatu bentuk ‘non-confrontation’ yang membawa nilai negatif kepada emosi diri.

Menyelesaikan permasalahan emosi

Individu yang berani menghadapi segala cabaran emosi atau ancaman dengan baik dan teliti demi mencapai sesuatu matlamat sebenarnya merupakan individu yang kental dan memiliki kekuatan jiwa. Menyelesaikan konflik dalaman diri atau permasalahan emosi adalah satu bentuk konfrontasi yang baik. Lagilah baik jika dibawa berbincang dengan individu lain yang lebih arif supaya satu keputusan yang wajar dapat diambil secara praktikal dan bersesuaian dengan situasi semasa diri. Sebagai contoh yang mudah, seorang pelajar yang makan hati terhadap sikap negatif seorang pensyarah, namun perlu menghadiri kuliah pensyarahnya itu setiap hari. Maka setiap harilah si pelajar itu makan hati sehingga berasa tertekan. Jika perkara ini tidak dibawa berbincang untuk diselesaikan - “escapism”, bayangkanlah bagaimana kesudahannya. Maka perlulah bagi pelajar tersebut untuk lebih bersikap berani dan berterus terang, agar konflik yang berlaku dapat diatasi serta ketegangan emosi dapat dileraikan dengan baik.

Berterus terang

Segala permasalahan jiwa, emosi berpunca dari tindakan diri yang tidak mahu berhadapan secara realiti terhadap perkara ini. Lebih bersikap lepas tangan dan cuba mencari cara mengelakkan konflik yang seharusnya dihadapi, atau lebih tepat konflik yang sedang dihadapi. Sikap diri yang tidak mahu berterus terang terhadap diri sendiri dan orang lain akhirnya menjadikan masalah mudah yang dianggap remeh ini menjadi kanser yang sangat berisiko tinggi. Ketahuilah bahawa tiada seorang pun manusia yang diciptakan oleh allah swt yang tidak diuji. Tiadalah allah swt membebankan seorang manusia itu melainkan apa yang mampu dipikul.

Wallahu ta’ala a’lam

 

0 comments so far.

Something to say?