10 Muwasofat Tarbiah

By Mohd Nurishaq Mohd Fauzi

1. Salimul Aqidah

Aqidah yang bersih (salimul aqidah) merupakan sesuatu yang harus ada pada setiap muslim. Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah swt dan dengan ikatan yang kuat itu dia tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan- ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam’ (QS 6:162). Karena memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da’wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah saw mengutamakan pembinaan aqidah, iman atau tauhid.

2. Shahihul Ibadah

Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul saw yang penting, dalam satu hadisnya; baginda menyatakan: ‘solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.’ Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah Rasul saw yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.

3. Matinul Khuluq

Akhlak yang kukuh (matinul khuluq) atau akhlak yang mulia merupakan sikap dan prilaku yang harus dimiliki oleh setiap muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah mahupun dengan makhluk-makhluk-Nya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apalagi di akhirat. Kerana begitu penting memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah Saw diutus untuk memperbaiki akhlak dan beliau sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah di dalam Al-Qur’an, Allah berfirman maksudnya: ‘Dan sesungguhnya kamu benar- benar memiliki akhlak yang agung’ (QS 68:4).

4. Qowiyyul Jismi

Kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi pribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani bererti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan fizikalnya yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizikal yang sihat atau kuat, apalagi peperangan di jalan Allah dan bentuk- bentuk perjuangan lainnya. Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada mengubati. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi, dan jangan sampai seorang muslim sakit-sakitan. Kerana kekuatan jasmani juga termasuk yang penting, maka Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ‘Mu’min yang kuat lebih aku cintai daripada mu’min yang lemah’ (HR. Muslim).

5. Mutsaqqoful Fikri

Bijak dalam berfikir (mutsaqqoful fikri) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang penting. Kerana itu salah satu sifat Rasul adalah fathonah (cerdas) dan Al-Qur’an banyak mengungkapkan ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, contohnya firman Allah yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang, arak dan judi. Katakanlah: ‘pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.’ Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih dari keperluan.’ Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir (QS 2:219). Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang harus kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan berfikir. Oleh itu seorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Cuba kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu. Oleh kerana itu Allah bertanya kepada kita tentang tahap-tahap kebijaksanaan seseorang sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah:samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran (QS 39:9).

6. Mujahadatun Linafsihi

Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatun linafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri seorang muslim, kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada apabila seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsu. Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus ditundukkan pada ajaran Islam. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Tidak beragama seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam) (HR. Hakim).

7. Harishun ‘ala Waqtihi

Pandai menjaga waktu (harishun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini kerana waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah swt banyak bersumpah di dalam Al-Qur’an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal 'asri, wallaili dan sebagainya. Allah swt memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama setiap hari, iaitu 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tak sedikit manusia yang rugi. Kerana itu tepat sebuah kata-kata yang menyatakan:

‘Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.’ Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi. Oleh kerana itu setiap muslim amat dituntut untuk mengurus waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tak ada yang sia-sia. Maka diantara yang disinggung oleh Nabi saw adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, yakni waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.

8. Munazhzhamun fi Syu’unihi

Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur’an maupun sunnah. Oleh kerana itu dalam hukum Islam, baik yang berkait dengan masalah 'ubudiyah mahupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya. Dengan kata lain, suatu urusan dikerjakan secara profesional, sehingga apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian darinya. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban, konsisten dan berasaskan ilmu pengetahuan merupakan diantara yang mendapat perhatian secara serius dalam menunaikan tugas-tugasnya.

9. Qodirun ‘alal Kasbi

Memiliki kemampuan usaha sendiri atau yang juga disebut juga kestabilan (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilaksanakan apabila seseorang memiliki kestabilan, terutama dari segi ekonomi. Tak sedikit seseorang mengorbankan prinsip yang telah dipegangnya kerana tidak memiliki kestabilan dari segi ekonomi. Kerana itu peribadi muslim tidaklah semestinya miskin, seorang muslim boleh sahaja kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia boleh menunaikan haji dan umrah, zakat, infaq, sedekah, dan mempersiapkan masa depan yang baik. Oleh kerana itu perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Qur’an mahupun hadits dan hal itu memiliki keutamaan yang sangat tinggi. Dalam kaitan mendapatkan kestabilan inilah seorang muslim amat dituntut memiliki kepakaran apa saja yang baik, agar dengan kepakarannya itu menjadi sebab baginya mendapat rezeki dari Allah swt, kerana rezeki yang telah Allah sediakan harus diambil dan mengambilnya memerlukan cara atau ketrampilan.

10. Naafi’un Lighoirihi

Bermanfaat bagi orang lain (nafi’un lighoirihi) merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim. Manfaat yang dimaksud tentu saja manfaat yang baik sehingga dimanapun dia berada, orang disekitarnya merasakan kehebatannya kerana bermanfaat besar. Maka jangan sampai seorang muslim adanya tidak menguntungkan dan tiadanya tidak merugikan. Ini bererti setiap muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berupaya semaksimum mungkin supaya boleh bermanfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai seorang muslim itu tidak boleh mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya. Dalam kaitan inilah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain (HR. Qudhy dari Jabir). Demikian secara umum profil seorang muslim yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan hadits, sesuatu yang perlu kita tanamkan dalam diri kita masing-masing.

Kredit kepada : Asy-syahid Imam Hassan Al-banna

 

0 comments so far.

Something to say?