Suci jiwa (2) Siapa kita?

Category: , , , By Mohd Nurishaq Mohd Fauzi
Selasa 25 Mei 2010

Assalamu'alaikum wbt...Pagi yang sangat tenang dan menenangkan. Dihiasi dengan zikir ma'thurat tentunya membungakan hati, membuka tirai kerinduan kepada ilahi dan sahabat seperjuangan. Mengenangkan posisi kita sebagai hamba tegar, milik tuhan yang maha esa secara mutlak, membuatkan jiwa ini sentiasa terlindung, lebih teratur, tidak keterciciran di mana2 jua simpang sepanjang perjalanan da'wah.

Dimensi Hidup dan Jalan | Prolog

Begitu indahnya dunia ini apabila kita disajikan kesenangan hidup, kekayaan aset, kemewahan yang tiada titik akhir, kuasa untuk menggerakkan sesuatu, jawatan dan pangkat yang menjadi kebanggaan, perempuan, kerinduan oleh kekasih gelap, kasta dan pengkelasan taraf hidup yang membezakan antara tikus dengan politikus, antara bubur nasi dengan makaroni, serta hiburan yang istimror. Kesemua perhiasan hidup ini (rujuk Al-imron:14) adalah sajian persoalan, percaturan dunia untuk hambaNya sepanjang penerokaan redha allah swt. Jalan yang allah swt berikan kepada kita ini bukanlah jalan yang biasa. Ada persimpangannya, ada perhentian semantara yang indah permai, ada rintangannya, ada onak durinya, ada sahabat yang bersama-sama dengan kita, ada bekalnya, ada pencahayaannya, ada papan tandanya, ada pandu arahnya namun adakah kita sedar akan semua ini?

Manusia dan Penglihatan

Allah swt maha adil dan bijaksana dalam merangka dan membuat perhitungan untuk hamba-hambaNya. Diciptakan dunia ini untuk hambaNya menjadi khalifah, menjaga dengan baik sebagai suatu bentuk amanah, tidak dirosak-rosakkan dan pastinya hamba Allah swt Tuhan Sekalian Alam yang terpilih ini ialah manusia. Istimewanya manusia berbanding hambaNya yang lain seperti haiwan, batu, pokok, gunung, dan segalanya adalah kerana manusia dikurniakan 'aqal. 'aqal membolehkan manusia berfikir, merencana dan membuat keputusan sewajarnya mengikut keperluan dalam kehidupan ummat seluruhnya. Manusia juga bukan sekadar mampu melihat bahkan menafsir apa sahaja yang dilihat, memahami dan menghayati sedalam-dalamnya sesuatu perkara itu dengan jelas. Kemampuan ini membantu manusia untuk memahami dan melaksanakan amanah dari Allah swt Tuhan Sekalian Alam ini dengan baik. Maka, hebat sungguh manusia berbanding hamba-hambaNya yang lain. Peringatan daripada Allah swt;

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al-a'Rof:179)

Tasyrifan atau Taklifan?

Tasyrifan itu adalah suatu bentuk penghormatan, memuliakan seseorang, tanda penghargaan tanpa diikat kepada sesuatu tanggungjawab. Taklifan itu pula merupakan suatu tanggungjawab, melaksanakan amanah yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Manusia itu adalah hamba yang terpilih, diangkat oleh Allah swt Tuhan Sekalian Alam antara hamba-hambaNya yang lain untuk menjadi khalifah, sebagai raja yang mengurus dan mentadbir isi dunia. Adakah ini suatu tasyrifan atau taklifan? Sudah tentulah taklifan, kerana manusialah yang memiliki 'aqal untuk membezakan secara lahiriah antara hambaNya yang lain, diberi tanggungjawab untuk mentadbir, mengurus secara baik segala isi alam ini. Bukanlah berseronok, bersuka ria mengisi ruang kekosongan usia, menghabiskan sumber tenaga didunia lalu mengabaikan kebajikan hamba-hamba Allah swt yang lain. Sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam AlQuran;

  • Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [AlbaQoroh:29]
  • Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".[AlbaQoroh:30]
  • Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". [AlbaQoroh:31]
  • Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". [AlbaQoroh:32]
  • Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".[AlbaQoroh:33]
Maha suci Allah swt, manusia itu diciptakan sangat istimewa, berbeza kemampuan berbanding hamba-hamba Allah swt yang lain. Begitu besarnya amanah dan kepercayaan yang allah swt berikan, letakkan kepada manusia untuk menggerakkan agenda pentadbiran dan pengurusan didunia ini, khususnya di atas muka bumi untuk tunduk menyembah Allah swt. Persoalannya, adakah kita sedar akan perkara ini dalam kerancakan mengejar kuasa dan keseronokan dunia?

Agenda 'Ubudiah | Sujud Kepada Allah Swt

Allah swt maha hebat dan bijaksana. Manusia walaupun diberi taklifan sebagai khalifah, yang membezakan dari hamba-hambaNya yang lain secara zahir, tetap tidak akan lari dari konsep pengabdian diri kepada Allah swt. Manusia itu khalifah, tetap hamba kepada Allah swt. Tunduk, sujud kepada Allah swt, memohon keampunan dan keberkatan hidup daripada Allah swt. Keseimbangan ini mengisi kekosongan jiwa manusia, supaya sentiasa bergantung kepada Allah swt, menjalankan amanah kerana cintanya kepada Allah swt. Membawa seluruh makhluk Allah swt, baik yang sekecil2 cipataan sehinggalah sebesar2 alam untuk sama2 tunduk kepada Allah swt. Merealisasikan konsep 'ubudiah, iaitu penghambaan diri kepada Allah 'azzawajalla.

Dimensi Hidup dan Jalan | Epilog

Cantiknya perjalanan hidup ini, walaupun dihiasi pelbagai bentuk dugaan dan cabaran yang getir, Allah swt tetap memberi petunjuk, cahaya yang membebaskan diri manusia ini dari cengkaman yang bathil. Dikurniakan nabi dan Rosul sebagai pendorong, memberi semangat, yang mengingatkan kita supaya kembali mengesakan Allah swt dan mempermudah perjalanan dengan contoh yang terbaik dalam mencapai keredhaan Allah swt. Diturunkan pula AlQuran sebagai pedoman, yang memeta dan memandu arah kita sehingga sampai kepada Allah swt. Diberikan bekal, ataupun ruang hidup untuk kita meningkatkan dan meningkatkan lagi ibadah kita untuk dibawa ke akhirat kelak, ditemukan kita dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang terus menerus mengingatkan kita sewaktu terlupa, sama2 berjalan menempuh perjalanan menuju Allah swt. Adakah kita menghargai kesemua nikmat ini?

Dunia ini adalah suatu perhentian yang sementara. Walaupun indah dan permai, namun ia tidak berkekalan dan pasti akan hancur lebur. Maka janganlah leka dan berangkatlah meneruskan perjalanan, jangan tersalah memilih simpang, hayati dan fahami panduan hidup di dalam AlQuran. Berhati-hati meredah onak duri kehidupan serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah swt. Hidup ini bukanlah jalan yang biasa. Astaghfirullahal 'Azim..

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.." (Adz-zariyat:56)

Wallahuta'ala A'lam.

ishaQ
25/05/2010
Segamat
 

0 comments so far.

Something to say?